10 Petua Terbaik Untuk Menghalau Cicak Dari Rumah Anda

Masalah pembiakan cicak di dalam rumah boleh membuatkan sesiapa sahaja runsing. Bagi yang mempunyai anak kecil di rumah, pastinya anda risau sekiranya anak-anak anda menyentuh najis atau telur cicak dan memasukkannya ke dalam mulut.

Mari kami kongsikan 10 petua terbaik untuk menghalau cicak dari rumah anda!

1. Jangan biarkan sumber makanan di rumah anda terdedah

Sumber makanan yang terdedah sangat disukai cicak dan akan menyebabkan lebih banyak cicak membiak di kawasan rumah anda. Pastikan tiada sisa makanan yang tertinggal dan bersihkan peralatan dapur selepas memasak.

Bersihkan meja makan dan jangan lupa untuk tutup tong sampah. Sisa makanan akan mengundang serangga seperti lalat dan semut. Ini secara tidak langsung akan menarik perhatian cicak kerana serangga merupakan salah satu sumber makanan reptilia ini! Jadi, sebelum anda ingin menghalau cicak, periksa rumah anda untuk pastikan tiada serangga perosak yang lain.

2. Gunakan semburan serai wangi

Jika anda ingin mengekalkan bau yang segar pada ruangan rumah anda dan pada masa yang sama ingin menghalau cicak, anda boleh menggunakan semburan serai wangi.

Serai wangi merupakan sejenis tumbuhan rumput yang berbau wangi dan mempunyai persamaan dengan serai makan. Ianya mempunyai bau yang lebih kuat tetapi tidak boleh dimakan. Bau serai wangi yang kuat ini berkesan bagi menghalau binatang perosak termasuklah cicak di kawasan rumah anda.

3. Ubat gegat (naphtalene)

Letakkan ubat gegat pada almari atau kabinet di rumah anda. Bau yang dihasilkan oleh ubat gegat ini tidak disukai cicak. Ubat gegat kebiasaannya dalam bentuk bebola yang berwarna-warni jadi anda perlu berhati-hati dengan meletakkannya di tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak kerana dikhuatiri disangkakan gula-gula oleh mereka.

4. Cuka, lemon dan serbuk cili

Cicak tidak suka dengan bau cuka dan lemon, manakala serbuk cili pula boleh mendatangkan iritasi kepada kulit, mata dan hidung cicak. Ini akan membuatkan cicak akan menjauhi kawasan semburan secara semulajadi.

Cara-caranya :

  • Campurkan serbuk lada hitam dan serbuk cili.
  • Kemudian, larutkan dengan cuka dan air.
  • Masukkan di dalam botol spray dan gnocangkan sehingga campuran tersebut sebati.
  • Semburkan di kawasan yang selalu ada cicak.

5. Kopi dan tembakau

Jika cara lain tidak berjaya untuk menghalau cicak, gunakan petua ini untuk membunuh reptilia tersebut!

Cara-caranya:

  • Campurkan serbuk kopi dan tembakau, kemudian bentukkannya seperti bebola kecil.
  • Gunakan pencungkil gigi dan lekatkan bebola kecil ini pada pencungkil gigi.
  • Letakkan bebola kecil ini di sekitar kawasan rumah yang selalu menjadi kawasan tumpuan cicak kerana reptilia ini tertarik dengan bau campuran ini.
  • Serbuk tembakau merupakan racun kepada cicak dan akan menyebabkan cicak mati.

6. Bawang merah

Bawang merah bukan sahaja boleh digunakan dalam masakan tetapi  juga boleh digunakan sebagai salah satu cara yang mesra alam untuk menghalau cicak. Bawang merah boleh dipotong, atau dikisar dan diletakkan di tempat yang disukai cicak.

Kandungan bawang merah yang mengandungi sulfur dan bau yang tengik akan membuatkan cicak menghindari kawasan itu. Selain itu, anda juga boleh menggunakan bawang putih sebagai alternatif.

7. Gunakan serai makan

Terdapat kajian yang dilakukan yang membukti keberkesanan serai ini sebagai penghalau nyamuk.

Nyamuk merupakan salah satu sumber makanan cicak dan dengan berkurangnya bilangan nyamuk di kawasan rumah anda, ianya akan menyukarkan cicak untuk membiak kerana ketiadaan sumber makanan. Anda hanya perlu mengambil beberapa batang serai yang disiat-siat dan letakkan di sekitar ruang kawasan rumah anda. Selain itu, anda juga boleh menggunakan minyak pati serai kerana ianya mendatangkan hasil yang sama.

8. Kulit telur

Kulit telur merupakan antara langkah yang paling popular untuk menghalau cicak dari rumah anda. Anda juga boleh menggunakan telur burung puyuh. 

Anda hanya perlu meletakkan kulit telur di sekitar kawasan rumah di mana cicak sering dilihat. Secara teknikal, kulit telur mengandungi bahan sulfur yang akan memberi kesan terbakar pada ruang abdomen cicak. Bau sulfur daripada kulit telur juga seolah-olah menyerupai paruh burung iaitu pemangsa yang lebih besar daripadanya. Ini menyebabkan cicak tidak akan berani untuk menjejaki kawasan itu lagi.

9. Semburan penghalau cicak

Semburan penghalau cicak atau lizard repellent boleh didapati dengan mudah di mana-mana kedai runcit atau pasar raya. Semburan ini perlu dilakukan di ruang yang berpotensi untuk dimasuki cicak. Ini juga akan menyebabkan cicak menjauhi kawasan tersebut.

10. Gam tikus

Anda boleh membuat perangkap buatan sendiri dengan menggunakan gam tikus. Anda hanya perlu menggunakan kertas keras atau kotak dan sapukan gam di atas kertas itu. Kemudian, letakkan kertas yang sudah disapu dengan gam tersebut pada kawasan yang kerap menjadi laluan cicak. Cicak akan melekat pada gam ini dan tidak boleh melepaskan diri.

Perangkap ini juga boleh digantung pada siling dan juga dinding. Namun begitu, perangkap ini tidak boleh dibiarkan lama dan perlu dibuang dengan segera apabila cicak sudah melekat kerana dikhuatiri cicak yang sudah mati akan mengeluarkan bau yang sangat busuk di kawasan rumah.

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua.

Untuk membaca artikel lain yang berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca