10 Jenis Bunga Pewangi Asli Untuk Rumah Kediaman Anda

Impian untuk memiliki taman di kawasan perumahan sendiri adalah sesuatu yang diimpikan buat para pencinta tumbuhan. Banyak tumbuhan flora yang wujud dan semestinya kita menginginkan sesuatu yang boleh memberikan ketenangan atau kesegaran kepada diri sendiri mahupun orang yang datang menziarah.

Pokok bunga yang sering kali dikaitkan dengan terapi diri adalah berpunca daripada haruman bunga tersebut. Berikut merupakan pokok berbunga yang boleh ditanam sekitar rumah untuk mendapatkan haruman asli dan segar.

1.  Kenanga (Cananga Odorata)

Kenanga merupakan bunga tradisional dan amat digemari kerana harumannya yang semerbak. Bunga yang berwarna hijau kekuningan ini akan menyebarkan bau yang lebih tajam pada waktu senja.

Minyak ekstrak daripada bunga ini telah dijadikan bahan perubatan aroma terapi yang boleh merehatkan jiwa, menghilangkan tekanan, insomnia, mengubati tekanan darah tinggi, melancarkan haid dan mengatasi masalah mati pucuk (impoten). Kadangkala, bunga ini akan dipetik dan diletakkan di dalam lipatan pakaian untuk menjadikan pakaian itu lebih harum.

2. Mawar (Rosa Chinensis)

Bunga mawar yang sering dikaitkan dengan perasaan cinta ini lahir dari pokok bunga yang boleh mencapai ketinggian sehingga dua ke lima meter. Terdapat banyak jenis mawar yang ada di dunia ini dan mempunyai pelbagai warna seperti putih, merah jambu, kuning dan sebagainya bergantung kepada jenis bunga mawar. Manfaat bunga mawar yang pelbagai menyebabkan ianya terkenal.

3. Melur (Jasminum Sambac)

Bunga melur adalah bunga yang sangat harum dan tumbuh mekar sepanjang tahun. Pokok bunga ini mempunyai kegunaan yang banyak buat semua kaum di Malaysia. Bunga yang berwarna putih ini juga banyak manfaatnya. Antaranya adalah menjadi bahan untuk membuat minyak wangi, produk kosmetik, dan bahan haruman untuk teh.

4. Harum Sundal Malam (Polianthes Tuberosa)

Selain menjadi tumbuhan yang boleh berbunga dalam jangka masa yang lama, pokok bunga ini turut mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Tanaman ini dikatakan boleh memulihkan emosi dan memperkuat inspirasi artistik seseorang kerana mampu merangsang otak kanan.

Ianya juga mampu untuk mengatasi masalah kesukaran tidur, influenza dan rematik. Selain itu, ia juga turut mempunyai khasiat untuk menurunkan panas badan dan bengkak.

5. Kembang Cina (Gardenia Jasminoides)

Bunga yang berwarna putih ini mempunyai haruman yang sangat diminati. Ianya sering dijadikan bahan produk minyak wangi. Di samping itu, tanaman ini mempunyai zat seperti linalol dan styrolyl. Tidak hanya dijadikan hiasan, ianya juga mampu untuk mengubati penyakit seperti diabetes melitus, demam, dan mengalami kesukaran membuang air besar. Masyarakat Cina dikatakan menggunakan tanaman ini sebagai ubat perancang keluarga.

6. Kemuning (Murraya Paniculata)

Tanaman ini berbunga sepanjang tahun dan mengeluarkan haruman yang sangat tajam pada waktu malam. Tambahan pula, ianya telah dimanfaatkan sebagai ubat pemati rasa, penenang, penghilang radang, dan pelancar peredaran darah.

Dikatakan jika daun dan bunganya digiling halus dan disapukan ke badan, ianya mampu untuk membuatkan kulit halus dan cantik. Batangnya yang berwarna kuning coklat sesuai untuk dibuat sarung keris.

7. Kemboja Putih (Plumeria Obtusa)

Selain rupanya yang artistik dan dekoratif, tanaman ini mampu untuk mencegah pertumbuhan bakteria. Tanaman ini juga dikatakan mampu untuk menurunkan demam panas, meredakan batuk dan melancarkan proses membuang air besar. Elemen yang terdapat pada kulit batang pokok ini dikatakan mampu menyembuhkan kulit di bahagian tumit kaki yang pecah atau merekah.

8. Tanjung (Mimusops Elengi)

Bunga berwarna krim dan menghasilkan bau wangi ini berbunga sekitar bulan April dan berbuah pada bulan Jun. Buahnya boleh dimakan dan rasa sedikit manis. Rasa manisnya mampu menjadi daya penarik kepada binatang seperti burung.

Keharuman bunga tanjung boleh dikembalikan dengan merendamkannya bersama minyak kelapa jika ianya telah kering. Tanaman ini juga mampu untuk merawat penyakit ruam, menghilangkan bau nafas dan boleh digunakan untuk mencuci luka.

9. Melati (Wrightia Religiosa)

Tanaman yang mempunyai bunga kecil berwarna putih ini dikatakan sebagai simbol kesucian dan keelokan budi. Haruman aroma yang lembut dan tidak terlalu menusuk, melambangkan perasaan lembut, nyaman dan tenang.

Ianya dijadikan bahan untuk membuat minyak wangi, kosmestik, gubahan bunga dan sebahagian daripada campuran teh. Akarnya dikatakan berfungsi untuk merawat penyakit kulit.

10. Jasmin (Cestrum Nocturnum)

Bunga ini juga mengeluarkan bau yang kuat pada waktu malam. Baunya manis tetapi bunganya akan menguncup pada waktu siang dan mengeluarkan bau yang minimum. Bunga ini sesuai diletakkan di tingkap dan laluan masuk utama. Walau bagaimanapun, anda perlu berhati-hati kerana terdapat beberapa bahagiannya yang beracun.

Semoga perkongsian di atas dapat membantu anda semua untuk mendapatkan rumah kediaman yang lebih wangi dan segar.

Penulis:

  • Nur Aqimila Binti Mohd Razali adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi FiTA (UiTM).
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca artikel lain berkaitan bunga, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca