Search
Close this search box.

10 Gelaran Yang Hanya Orang Malaysia Sahaja Boleh ‘Relate’

Tidak dinafikan, masyarakat kita memang handal bab bagi gelaran tidak kiralah kepada manusia mahupun perbuatan. Ada sahaja idea yang muncul untuk menggelarkan sesuatu sehingga gelaran tersebut menjadi ikutan ramai. Berikut kami kongsikan 10 gelaran hanya orang Malaysia sahaja boleh ‘relate’:

1. Sotong

Gelaran sotong digunakan untuk lelaki berperwatakan lembut. Malah, sebelum ini ada drama berjudul Suamiku Encik Sotong lakonan Sharnaaz Ahmad yang mengetengahkan watak seorang lelaki lembut. Persoalannya, apa kaitan lelaki berperwatakan sedemikian dengan sotong?

2. Kunyit

Kunyit merupakan gelaran yang diberikan kepada golongan lelaki homoseksual atau kita sering sebut sebagai gay. Cerita di sebalik gelaran ini agak seksual dan tidak sesuai untuk dicoret di sini.

3. Bawang

Skuad bawang, makcik bawang dan juga pakcik bawang adalah antara gelaran paling popular dalam masyarakat kita. Ia merujuk kepada mereka yang suka bergosip. Gelaran ini dikatakan dicipta apabila sekumpulan wanita yang berusia gemar bercerita tentang perihal orang lain sewaktu memotong bawang di majlis kenduri.

4. Balak

Gelaran balak merujuk kepada teman lelaki. Kami sendiri tidak tahu bagaimana gelaran ini boleh tercetus. Apa agaknya kaitan lelaki dengan kayu balak?

5. Tisu

Tisu sering digunakan bersama dengan perkataan hati iaitu hati tisu. Ia membawa maksud seseorang yang cepat terasa. Asal usul gelaran ini mungkin berkait rapat dengan keadaan tisu itu sendiri yang mudah koyak.

6. Payung

Rasanya pasti semua orang pernah ternampak kapsyen, “Jangan cakap abang tak payung!” melintas di timeline atau feed media sosial masing-masing. Payung di sini bukan digunakan untuk melindungi diri daripada terkena hujan dan panas matahari tetapi ia membawa maksud tersirat iaitu belanja.

7. Pisang

Gelaran pisang ini special case sikit kerana ia disebut dengan sedikit pelat iaitu ‘pishang’. Pishang di sini bermaksud bosan. Sama seperti perihal gelaran balak, kami sendiri sudah beberapa hari memikirkan dan membuat kajian tentang asal usul gelaran ini namun ia masih menjadi tanda tanya sehingga sekarang.

8. Mangkuk

Gelaran mangkuk digunakan untuk melabel seseorang yang bangang. Kalau ikutkan logik, bentuk mangkuk yang kosong di dalam itu menggambarkan seseorang yang tiada otak sekali gus menjadikan mereka seorang yang bangang.

9. Pembaris

Pembaris digunakan untuk menggelar seseorang yang lurus. Mungkin kerana bentuk pembaris yang lurus itu menjadikan objek tersebut sebagai metafora bagi orang yang lurus bendul.

10. Babi

Haiwan tidak berdosa ini sering digunakan untuk menggelar sesuatu. Orang tua ada mengatakan bahawa setiap kali kita tersedu, ia bermaksud ada seseorang yang sebut nama kita. Kalau betullah perkara itu maka sudah pasti babi asyik tersedu tiap masa.

Sebagai contoh, apabila berjumpa dengan manusia yang tidak reti bagi signal di jalan raya, gelaran babi terus keluar daripada mulut kita. Selain itu, perampas kekasih atau pasangan orang lain juga sering digelar babi. Padahal yang salah di sini manusia tetapi babi yang kena.

Adakah anda sudah biasa dengar gelaran-gelaran yang kami kongsikan di atas? Jangan cakap kami tak payung!

Artikel Lain Untuk Di Baca