Search
Close this search box.

10 Filem Romantik Hollywood Yang Patut Anda Tonton

Filem bergenre romantik kebiasaannya menjadi pilihan utama kebanyakan anak muda pada masa kini. Apabila ada sahaja filem bergenre sedemikian ditayangkan, pasti semua berebut-rebut untuk menontonnya. Kali ini, kami kongsikan 10 filem romantik Hollywood yang bakal membuatkan mereka yang single terus keluar mencari pasangan.

1. The Best of Me (2014)

Filem ini mengisahkan sepasang kekasih bernama Dawson Cole (James Marsden) dan Amanda (Michelle Monaghan) yang terpaksa berpisah pada zaman remaja mereka kerana tentangan keluarga. Mereka bertemu kembali 20 tahun kemudian dan cinta lama mereka telah berputik kembali. Namun begitu, Amanda telah pun berkahwin dengan pilihan hatinya. Adakah dia sanggup untuk mengorbankan rumah tangga yang dibinanya demi kekasih lamanya itu?

2. Love, Rosie (2014)

Filem Love, Rosie adalah satu filem yang diadaptasi daripada novel yang berjudul Where Rainbow Ends karya Cecelia Ahern. Filem ini menceritakan kisah Rosie Dunne (Lily Collins) dan Alex Stewart (Sam Claflin) yang menjalin persahabatan sejak mereka berusia 5 tahun lagi. Namun begitu, kedua-dua mereka menyimpan perasaan terhadap satu sama lain tetapi tidak pernah mengakuinya.

3. Midnight Sun (2018)

Mengisahkan seorang perempuan bernama Katie Price (Bella Thorne) yang menghidapi satu penyakit yang begitu rare di mana dia tidak boleh terkena cahaya matahari langsung. Penyakitnya itu telah membataskan kehidupannya. Dia tidak boleh ke sekolah dan hanya belajar di rumah sahaja. Dia juga tidak boleh keluar rumah pada waktu siang.

Namun begitu, setelah jatuh cinta dengan seorang lelaki bernama Charlie (Patrick Schwarzenegger), kemahuannya untuk keluar rumah semakin membuak-buak. Adakah Katie akan mengutamakan lelaki itu berbanding kesihatannya? Anda wajib tonton filem ini untuk mengetahui kesudahannya!

4. A Walk to Remember (2002)

Filem yang berdasarkan novel karya Nicholas Sparks ini berkisar tentang Landon (Shane West) yang telah jatuh cinta dengan seorang gadis bernama Jamie (Mandy Moore) yang sering diejek di sekolah. Namun begitu, ada sesuatu yang Jamie sembunyikan daripada pengetahuan teman lelakinya itu. Kalau nak tahu apa yang dirahsiakan oleh Jamie, anda semua kenalah tonton filem ini!

5. The Notebook (2004)

Filem ini juga merupakan adaptasi daripada novel tulisan Nicholas Sparks. Ia mengetengahkan kisah percintaan terhalang disebabkan darjat yang berbeza antara Noah Calhoun (Ryan Gosling) dan Allie (Rachel McAdams). Mereka yang menonton filem ini pasti akan mengalirkan air mata kerana jalan ceritanya yang sangat menyentuh perasaan itu.

6. The Fault in Our Stars (2014)

Filem ini diadaptasi daripada sebuah novel karya John Green. Kedua-dua watak utama dalam cerita ini iaitu Hazel Grace (Shailene Woodley) dan Gus Waters (Ansel Elgort) menghidapi kanser. Persamaan itu membuatkan mereka saling memahami antara satu sama lain sehingga perasaan cinta wujud antara mereka berdua.

7. The Vow (2012)

Juga merupakan salah satu karya hebat Nicholas Sparks yang mengisahkan pasangan suami isteri iaitu Paige (Rachel McAdams) dan Leo (Channing Tatum). Mereka sangat bahagia sehinggalah suatu hari, sesuatu yang malang telah menimpa mereka. Mereka telah terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan Paige hilang ingatan dan langsung tidak mengingati suaminya itu. Apakah kesudahan cerita ini? Adakah ingatan Paige akan hilang buat selama-lamanya?

8. Me Before You (2016)

Will Traynor (Sam Claflin) merupakan seorang lelaki kaya yang lumpuh akibat terlibat dalam satu kemalangan. Dia dijaga oleh seorang pekerja yang bernama Louisa Clark (Emilia Clarke). Lama-kelamaan, Louisa sedar bahawa dia telah jatuh cinta terhadap Will. Pada masa yang sama, dia juga tahu bahawa hidup lelaki itu akan berakhir tidak lama lagi.

9. 10 Things I Hate About You (1999)

10 Things I Hate About You merupakan sebuah filem yang diadaptasi daripada karya Shakespeare berjudul The Taming of the Shrew. Filem ini bercerita tentang kisah dua beradik iaitu Kat (Julia Stiles) dan Bianca (Larisa Oleynik) yang mempunyai peribadi yang sangat berbeza. Ayah mereka sangat tegas sehinggakan mereka tidak dibenarkan untuk bercinta. Namun begitu, nama pun meningkat ke alam dewasa, pasti babak percintaan tidak dapat dielakkan.

10. To All the Boys I’ve Loved Before (2018)

Filem ini merupakan sebuah filem yang diadaptasi daripada novel Jenny Han yang mengisahkan seorang gadis bernama Lara Jean Covey (Lana Condor) di mana setiap kali dia menyukai seseorang, dia akan menulis surat terhadap individu tersebut. Surat-surat tersebut tidak pernah dihantar kepada mereka dan hanya disimpan di dalam satu kotak miliknya.

Namun begitu, pada suatu hari, perkara yang paling tidak dijangka telah berlaku iaitu surat-surat tersebut telah dihantar kepada 5 orang lelaki yang pernah disukai Lara. Adakah salah seorang daripada mereka akan menerima cinta Lara? Anda semua boleh menonton filem ini di Netflix untuk mengetahui kesudahannya!

Selepas membaca artikel ini, bolehlah anda semua mengisi masa yang terluang dengan bermovie marathon. Selamat menonton!

Artikel Lain Untuk Di Baca