Pecahkan telur dalam kuali berisi minyak panas, goreng garing kemudian angkat tinggi-tinggi sebelum letakkan atas nasi panas-panas dan disimbah kicap memang padu ketika sedang lapar. Selain menjadi makanan survival hujung bulan, memecahkan rekod Kylie Jenner di Instagram, telur turut menjadi sebahagian ‘Hari Ini Dalam Sejarah’ apabila pecah di kepala seorang Senator Australia kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak menjaga sensitiviti agama dan berbaur perkauman baru-baru ini.
Banyak rupanya jasa dan fakta yang kita tidak tahu mengenai telur ini, antaranya:
1. Kira-kira 1.2 trillion telur dihasilkan pada setiap tahun untuk dimakan dan purata manusia memakan telur adalah 173 biji setahun.
2. Telur dadar pertama di dunia telah dimasak oleh orang-orang Rom pada zaman silam. Ia telur dadar yang dimaniskan dengan madu dan dipanggil Ovemele.
3. Setiap ekor ibu ayam menghasilkan kira-kira 250-270 biji telur setiap tahun secara purata dan ada yang lebih 300 biji.
4. Mana keluar dulu, ayam atau telur? Jawapan yang diberikan oleh para penyelidik dari Kanada adalah telur yang keluar dulu.
5. Kajian menunjukkan Dinosaur membuat sarang dan mengeram telurnya sehingga menetas.
6. Banyak telur digunakan dalam vaksin.
7. Warna kulit telur bergantung pada baka ibu ayam. Ada yang berwarna perang, putih, hijau dan biru. Telur ayam Aracauna dari Chile turut dipanggil telur ayam Easter kerana telurnya berwarna-warni.
8. Perkataan ‘yolk’ (telur kuning) berasal dari perkataan bahasa Inggeris lama yang bermakna ‘kuning’.
9. Globe pertama di dunia diukir pada telur burung unta pada tahun 1504 bagi menunjukkan benua Amerika atau orang barat panggil New World ketika itu.
10. Kita biasa makan telur yang tidak disenyawakan tetapi lain pula ceritanya di negara Indo-China dan Filipina apabila terdapat snek yang dipanggil Balut. Balut ini merupakan telur yang mengandungi janin binatang seperti ayam atau itik yang sudah terbentuk jasadnya tetapi belum sempurna dan menetas. Ia biasanya diambil setelah melalui proses pengeraman beberapa hari kemudian direbus sebelum memakannya dengan selamba.