KONGSIKAN

Sukan Olimpik adalah di antara temasya sukan yang dinanti-nantikan dalam tempoh setiap empat tahun.

Yalah, mana taknya. Semasa temasya sukan berprestij inilah kita dapat menyaksikan atlet-atlet dunia bersaing sesama sendiri dan dalam pada yang sama kita juga sebagai penonton dapat mengetahui serba sedikit tentang peraturan sukan yang dipertandingkan.

Tetapi untuk sukan-sukan yang bertaraf antarabangsa seperti ini, momen yang paling penulis nanti-nantikan adalah upacara penutupannya. Kenapa? Sebab masa ni lah kita dapat menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan dari pihak negara penganjur. Benda yang kita tak pernah tahu, kita jadi tahu.

Sebelum penulis merungkaikan lima sukan pelik yang pernah dipertandingkan di peringkat Sukan Olimpik, berikut merupakan sedikit maklumat tentang sejarah sukan berprestij ini.

 

Sejarah Sukan Olimpik

Sukan Olimpik adalah sukan antarabangsa yang diadakan setiap empat tahun. Sukan ini bermula dari zaman Yunani Purba, dihidupkan semula oleh seorang bangsawan Perancis bernama Pierre de Coubertin pada akhir abad ke-19. Sukan ini yang turut dikenali sebagai Olimpik Musim Panas telah diadakan pada setiap empat tahun sejak 1896 kecuali ketika Perang Dunia.

 

 

Berikut adalah lima sukan pelik yang anda tak pernah tahu pernah dipertandingkan di Sukan Olimpik:

 

#1. Lompat Jauh Berkuda

Sukan ini dipertandingkan sekali sahaja semasa Sukan Olimpik 1900. Lompat jauh berkuda adalah sebahagian daripada program ekuestrian di Paris dan pingat pertama (dan terakhir) untuk sukan ini dimenangi oleh atlet Belgium, Constant Octave van Langhendonck bersama kudanya, ‘Extra Dry’, dengan jarak lompatan 6.10 meter.

Foto: Time

 

#2. Tarik Tali

Pernah terbayang sukan tarik tali dipertandingkan di Sukan Olimpik?

Sukan tarik tali diperkenalkan di Sukan Olimpik 1900 dan oleh kerana sukan tarik tali adalah salah satu sukan masa lapang yang sangat popular di Perancis, sukan ini dikekalkan sebagai salah satu program Sukan Olimpik untuk 20 tahun seterusnya.

Setiap pasukan dikehendaki untuk menarik pihak lawan sehingga jarak enam kaki untuk mencapai kemenangan tetapi jika selepas tempoh lima minit kedua-kedua pasukan tidak berjaya mencapai jarak enam kaki, pemenang akan ditentukan dengan melihat pasukan mana yang bergerak ke belakang paling jauh.

Foto: Wikipedia

 

#3. Renang Berirama Individu

Seperti yang biasa kita lihat, sukan renang berirama dipertandingkan secara berpasukan. Betul tak?

Pada tahun 1984, sukan ini diperkenalkan pada Sukan Olimpik tahun itu di Los Angeles. Tetapi, tahun 1992 merupakan kali terakhir sukan itu dipertandingkan kerana mereka berpendapat bahawa ia adalah lebih logik untuk sukan ini dipertandingkan secara berpasukan, dan bukan individu.

Foto: Time

 

#4. Panjat Tali

Sukan ini mula diperkenalkan di Sukan Olimpik moden yang pertama pada tahun 1896 di Athens.

Pada permulaannya, peserta diadili menerusi gaya dan kepantasan mereka memanjat tali tetapi pada tahun 1932 semasa Sukan Olimpik di Los Angeles, cara pengadilannya diubah.

Kemenangan ditentukan menerusi masa yang diambil untuk memanjat tali.

Pada tahun 1904, atlet Amerika Syarikat, George Eyser yang menggunakan kaki palsu kayu, dinobatkan sebagai juara.

Foto: British Pathe

 

#5. Perlumbaan Renang Berhalangan

Seramai 12 orang atlet telah berkumpul di Sungai Seine semasa Sukan Olimpik di Paris pada tahun 1900 untuk perlumbaan yang luar daripada kebiasaan ini.

Peserta dikehendaki untuk melengkapkan perlumbaan sepanjang 200 meter. Mereka dikehendaki untuk memanjat tiang, dan kemudiannya mendayung perahu sebelum berenang di bawah barisan perahu yang lain untuk ke garisan penamat.

 

 

Sumber: Olympic