KONGSIKAN

Penulis: Pak Badrul

Malam semakin larut. Hening dan dingin. Sesekali terdengar bunyi gesekan kaki sang cengkerik dari luar rumah.

Afif menghembuskan asap rokok yang dihisapnya ke celahan tingkap, kemudian tersenyum sambil memandang sekotak hadiah di sudut bilik yang baru siap dibalutnya. Terpancar riak kepuasan dengan ketelitian hasil kerjanya itu. Corak bunga ros merah jambu dan hati berwarna merah pada pembalut hadiah menambahkan lagi kesempurnaannya. Tidak sabar dia menanti hari esok menjelma.

Esok adalah hari persandingan Finaz dan Shahrul, hari yang bahagia buat mereka berdua.

Esok juga bakal menjadi satu sejarah yang sukar dilupa.

***

“Mana Afif ni?” Tanya Finaz kepada Shahrul yang baru sahaja bergelar suaminya. Risau Finaz kerana kelibat Afif masih belum kelihatan. Afif ialah sahabat baiknya sewaktu sama-sama menuntut di universiti dahulu.

“Nanti dia muncul lah tu,” balas Shahrul cuba menyakinkan isterinya itu. Shahrul tahu Finaz memang benar-benar mengharapkan kehadiran Afif ke majlis perkahwinan mereka.

“Upacara potong kek nak mula dah tu, Sayang. Tetamu dah menunggu tu…” ujar Shahrul lagi. Kali ini dengan sedikit nada cemburu.

***

Sebaik sahaja selesai upacara memotong kek, kelihatan Afif berdiri di sudut khemah sambil memerhatikan pasangan mempelai yang bagaikan pinang dibelah dua itu.

Finaz perasan akan kehadiran Afif.

“Datang jugak awak ya? Terima kasih. Tertunggu-tunggu saya tau!” Tegur Finaz kepada Afif. Jelas terpancar riak gembira di wajahnya. Akhirnya orang yang ditunggu-tunggu muncul jua.

Shahrul tersenyum kelat memerhati di sebelah.

“Hai, Finaz. Tahniah! Maaf lah lewat sikit sampai,” balas Afif sambil menghulurkan sekotak hadiah bercorakkan bunga ros merah jambu dan hati berwarna merah yang dibalutnya semalam.

“Wah, terima kasih Afif!” Finaz tersangat gembira menerima hadiah itu.

“Awak bagi hadiah apa ni?” tanya Finaz.

“Time bomb…” jawab Afif selamba. Ada senyuman misteri pada wajahnya…

Shahrul perasan akan riak wajah Afif yang seperti ada niat kurang elok tersembunyi di sebalik senyuman itu. Finaz ketawa dengan jawapan Afif. Afif turut sama ketawa dan kemudian meminta diri untuk menjamu selera.

Shahrul memerhati dengan penuh curiga.

***

Malam semakin larut, Finaz dan Shahrul masih belum masuk tidur, masih sibuk membuka hadiah yang diterima daripada kenalan dan tetamu semasa majlis siang tadi.

Tiba-tiba Shahrul terpandang pada kotak hadiah pemberian Afif. Dia mengambil hadiah itu dan menunjukkan kepada isterinya.

“Sayang, ini hadiah daripada kawan awak si Afif tu. Saya tengok dia siang tadi macam pelik lah. Macam ada sesuatu yang tak kena. Kita tak payah lah buka hadiah dia ni. Lagipun dia cakap dia hadiahkan bom kan?” Shahrul cuba menimbulkan persoalan.

“Awak ni, takde apa lah. Dia bergurau je tu. Awak jeles eh? Dah lah, biar saya buka hadiah ni dan tengok apa isinya,” ujar Finaz.

Finaz terkejut bukan kepalang setelah membuka kotak hadiah itu. Tidak dia menyangka akan menerima hadiah sebegitu daripada Afif…

Sebuah buku yang tebal bertajuk ‘Panduan Lengkap Bersenggama Dengan Penuh Gaya’.

Finaz menggeleng mengenangkan kejutan daripada sahabatnya itu, seorang pakar terapi seks yang popular.

Shahrul yang pada awalnya menyangka Afif akan menghadiahkan sebuah bom terus ketawa berdekah-dekah tanpa henti.